Restoran Selera Rimba sememangnya dikenali ramai kerana keunikannya menghidangkan makanan eksotik halal resepi etnik Banjar dan Jawa. Restoran ini terletak di Mukim Sungai Panjang, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan. Sabak Bernam adalah sebuah daerah di utara Selangor yang terkenal dengan kepelbagaian etnik rumpun Melayu seperti Bugis, Banjar dan Jawa. Ini mewujudkan kepelbagaian resepi istimewa mengikut etnik masing-masing.
Restoran Selera Rimba ini telah mendapat publisiti yang agak meluas dikalangan penggemar makanan. Antaranya pernah dipaparkan dalam sebuah rancangan di TV3, di akhbar-akhbar tempatan, majalah dan blog. keunikannya adalah menyediakan makanan yang mungkin jarang ditemui di restoran lain seperti landak, kijang, ikan puyu, ikan baung, udang galah, ayam hutan, ayam kampung dan banyak lagi mengikut permintaan pelanggan. Nama Sungai Panjang agak sinonim dengan nama Restoran Selera Rimba. Selain menunya, lokasi restoran ini juga agak jauh dari bandar Sungai Besar dan dikelilingi oleh suasana rimba kerana ia terletak di tepi jalan yang menghubungkan Sungai Besar dengan daerah Hulu Selangor dan Tanjung Malim.
Restoran ini terletak kira-kira 5 KM dari Pusat Internet Sungai Panjang. Jika anda berkunjung ke Sabak Bernam, jangan ketinggalan singgah ke Restoran Selera Rimba. kami sajikan beberapa gambar restoran ini untuk santapan mata.