D`Bayu Impian Housestay

Terdapat tarikan baru di D`Bayu Impian Housestay, Parit 16, Sungai Panjang iaitu kolam mandi sama seperti yang terdapat di resort atau pusat istirehat yang lain. walaupun ia tidak semewah kolam mandi hotel lima bintang, tetapi sudah cukup menjadi daya tarikan komuniti setempat untuk datang bermandi-manda bersama ahli keluarga atau rakan-rakan. Ada juga organisasi tertentu yang datang ke D`Bayu Impian Housestay untuk menjalankan kursus atau program mahupun sebagai tempat hari keluarga. 

 

 


 Pusat Konservasi Kelip Kelip Sungai Panjang,Sungai Besar Selangor

 

Sungai Panjang bukanlah pusat perlancongan seperti Langkawi, Melaka ataupun Tioman, tetapi tetap memiliki tarikan tersendiri yang mampu menggamit orang luar untuk berkunjung ke sini seperti keunikan makanan tempatan, kedamaian suasana desa, sungai seperti Sungai Bernam yang menjadi sempadan antara negeri Selangor dan Perak, kawasan hutan untuk tujuan perburuan, kelip-kelip dan beberapa tarikan lain. 

Jika Kampung Kuantan di Kuala Selangor terkenal dengan kelip-kelip, Parit 16 Sungai Panjang juga memiliki kawasan kehadiran kelip-kelip. Ini adalah salah satu tarikan bagi mereka yang gemarkan suasana alam semula jadi dengan kehadiran jutaan kelip-kelip pada waktu malam. 

 


 Homestay sekitar

 

Selain tarikan kelip-kelip, Pantai Sungai Haji Dorani juga menjadi tarikan kepada para pelancong, walaupun pantainya tidak secantik jajaran pantai di pantai timur ataupun Port Dickson, tapi ia mampu memberikan ketenangan bagi mereka yang sukakan suasana desa. Bagi pengunjung yang datang dari luar kawasan, khidmat inap desa atau homestay disediakan. Selain menikmati suasana desa, pengunjung berpeluang menikmati sajian tradisional tempatan seperti lontong, soto, bakso, ikan pekasam, makanan laut seperti mentarang, mee udang dan sebagainya. Berikut adalah antara perkhidmatan inap desa yang terdapat di sekitar kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Panjang. 

 


 Pasar Sungai Haji Dorani

 

Selain tarikan inap desa, Sungai Haji Dorani, Sungai Panjang juga terkenal dengan hasil laut seperti ikan, ketam, kerang, mentarang, siput belitung, remis dan lain-lain lagi. Terdapat juga makanan laut yang telah dikeringkan seperti ikan masin. Ramai penduduk luar yang menggunakan jalan utama Teluk Intan - Klang yang singgah sebentar di kawasan ini untuk mendapatkan produk makanan laut.